Semasa hayat baginda nabi,
tentulah ramai para sahabat yang sentiasa ingin bersama dengan nabi.
Berdampingan dengan nabi. Mereka ingin berjumpa nabi, bertanya soalan,
berbincang, menziarahi, belajar ilmu, memberi hadiah dan sebagainya.
Kadangkala kita terbayang
suasana ketika itu. Alangkah indah dan seronoknya mengenali dan mendampingi
nabi. Menjadi makmum solat jemaah nabi. Berebut saf pertama. Berebut saf
sebelah kanan agak dapat melihat dan dilihat nabi sebaik sahaja nabi menoleh
kekanan. Berebut untuk memberi salam terlebih dahulu daripada nabi apabila
bertemu, walaupun ia tidak mungkin berlaku. Mendengar kuliah nabi. Menatapi
nabi, menghayati setiap butir kata nabi dan pelbagai perlain lain lagi. Namun
semua itu hanya umpama mimpi dalam mimpi. Kami tersentak dari lamunan, kami
beristighfar. Kami sedar kami bukan yang
terbaik untuk berada di zaman itu. Zaman penuh dugaan dan cabaran.
Ketika zaman itu, pasti seribu
macam alasan dicari, asal sahaja dapat bersama dengan nabi. Walaupun kadangkala
tiada kepentingan sebenar melainkan ingatan yang kuat kepada nabi. Sekadar
dapat melihat nabi atau mendengar kata baginda sudah menggembirakan hati.
Ada yang mungkin sengaja datang
ketika waktu makan hampir tiba. Semua mengetahui mana mungkin nabi yang mulia pekerti berbuat tidak peduli,
melainkan menjemput sekali. Dah makan, melepak lama. Buat susah nabi pula.
Kalau kita ada pada masa itu, pasti kitapun beperangai macam tu.
Namun dalam hal ini Allah
s.w.t. berfirman (maksudnya) :- “wahai orang yang beriman! Janganlah kamu
masuk ke rumah Nabi kecuali apabila kamu dijemput untuk menghadiri jamuan,
bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya.
Tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah, kemudian setelah kamu makan
hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dan
berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi
sehingga Baginda merasa malu hendak menyatakan hal itu kepada kamu, sedangkan
Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.”[ al-Ahzab (33) : 53].
Tentulah dalam keadaan
tertentu, nabi perlukan masa untuk diri, isteri dan keluarga terdekat. Maka
kerana itulah juga, salah satu kepentingan salawat supaya sahabat dapat
mengingati dan berkomunikasi dengan nabi tanpa perlu sentiasa berada di sisi.
Kenikmatan itu turut diperolehi sekelian umat islam, dulu dan kini.
Hadith Sahih. Dari
Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Bacalah selawat
kepadaku kerana sesungguhnya bacaan selawat kamu semua dapat sampai kepadaku di
mana saja kamu berada .” [ Sila rujuk HR Abu Daud, Riyadus Solihin, 1398,
Sahih menurut Imam Nawawi ]
Hadith Sahih. Dari Abu Hurairah r.a.
bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda;
“Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah
kewafatanku),melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab
salam orang itu.” [Sila rujuk HR Abu Daud dan Ahmad,Riyadus Solihin
-1398,Sahih menurut Imam Nawawi ]
Hadith Sahih. Dari Abu Hurairah r.a.
bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “sesiapa berselawat kepadaku
sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” [Sila
rujuk Sahih Muslim-0408]
Hadith Sahih. Dari Anas bin Malik
r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “ Barangsiapa yang
berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan
akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.”
[Sila rujuk HR An-Nasaie-1271, sahih oleh Imam Az zahabi dan Shaikh Nasiiruddin
Albani ]
Hadith Sahih. Abdullah ibnu Masud r.a.
berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Seutama-utama manusia dengan
aku di hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”
[Sila rujuk HR At-Tirmizi-0483 dan beliau berkata hadith ini adalah hasan
Gharib. Riyadus Salihin -1395 ]
Hadith Sahih. Hussain bin Ali
memberitakan daripada ayahnya Ali bin Abi Talib (semoga Allah meredhainya
mereka berdua) bahawa Rasulullah (selawat Allah dan salam keatasnya) telah
bersabda :”apakah tidak lebih baik aku khabarkan kepada kamu tentang orang
yang dipandang sebagai manusia yang paling bakhil?”maka kami(para sahabat)
menjawab : “Baik benar Rasulullah!” Maka Rasulullah (selawat Allah dan salam ke
atasnya) meneruskan: “ Orang yang disebut namaku di hadapannya, maka tiada ia
berselawat kepadaku, itulah manusia yang paling bakhil.!”
[Sila
rujuk HR At-Tirmizi,Misykat Al-Masbih-3/299,no : 311.Riyadus Salihin -1440.
Imam At-Tirmizi berkata hadith ini adalah sahih. Juga diriwayatkan oleh Imam
Ahmad,Ibnu Hibban dan Al-Hakim ]
Hadith Hasan. Ali bin Abi Talib
(semoga Allah meredhainya) berkata : “Doa seseorang itu terdinding
(terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli
keluarganya.”
[Sila rujuk kitab Al-Mu’jam Al-Ausat oleh Imam
Ath-Thabrani. Hadith Hasan, Shaikh Nasiruddin Albani.]
Hadith
Sahih.
Abu
Hurairah (semoga Allah meredhainya) berkata,Rasulullah (selawat Allah dan salam
keatasnya) telah bersabda : “Tiadalah suatu kaum berada di sesuatu majlis di
mana mereka tidaklah menyebut nama Allah dan mereka tidak pula berselawat ke
atas Nabi mereka.melainkan mereka pasti akan ditimpai padah(penyesalan). Maka
jika Allah kehendaki ,Dia akan seksa mereka ; dan jika Dia kehendaki, Dia akan
mengampunkan mereka.” [Sila rujuk HR At-Tirmiza-3440 ]
Di
dalam satu riwayat yang lain ,hadith ini di akhiri dengan: “……..mereka akan
ditimpa penyesalan di hari Kiamat; sekali pun mereka dapat memasuki syurga bagi
pahala amalan-amalan lain yang mereka kerjakan.” [Sila rujuk Musnad Imam Ahmad. Disemak semula
sebagai Sahih oleh Imam Al-Hakim, Adz-Dzahabi dan Al-Haitami]
Lafaz Selawat Sahih
Oleh
itu berselawatlah sebanyak-banyaknya. Namun utamakanlah selawat-selawat dari
lafaz sahih yang diajar oleh nabi sendiri.
Hadith
Sahih 1:-
Abdul Rahman bin Abi Lailah r.a. berkata:“Saya berjumpa dengan Ka’ab bin Abi
Lailah lalu dia berkata: Mahukah aku hadiahkan kepadamu satu hadiah yang aku
pernah mendengarnya daripada Nabi s.a.w.? Jawabku: Sudah tentu! Hadiahkanlah
kepadaku. Dia berkata: Kami (para sahabat) pernah bertanya kepada Rasulullah
s.a.w. bagaimana (cara) berselawat kepada kamu (wahai) ahli bait kerana
sesungguhnya ALLAH telah mengajarkan kepada kami bagaimana (caranya) kami
memberi salam (kepadamu)? Baginda menjawab: Ucapkanlah oleh kamu semua:-
اللَّهُمَّ صَلّ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ
كَمَا صلَّيْتَ عَلى اِبْرَاهِيمَ وَعَلى اَلِ اِبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدٌ
مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَاركْتَ
عَلى إبْرَاهِيمَ وَعَلى آلِ ابْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
|
Maksudnya: “Ya
Allah! selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana engkau telah
berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya engkau maha
terpuji lagi maha mulia. Ya Allah! berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad
sebagaimana engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya
engkau maha terpuji lagi maha mulia.”
[Sila rujuk Sahih al-Bukhari].
Hadith Sahih 2:- Musa bin Talhah meriwayatkan daripada bapanya (iaitu Talhah bin ‘Ubaidullah) r.a. katanya:“Kami (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah (caranya) berselawat kepadamu? Baginda bersabda: Kamu semua hendaklah mengucapkan:-
اللَّهُمَّ صَلّ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ
كَمَا صلَّيْتَ عَلى اِبْرَاهِيمَ وَعَلى اَلِ اِبْرَاهِيمَ إنَّكَ حَمِيدٌ
مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَاركْتَ
عَلى إبْرَاهِيمَ وَعَلى آلِ ابْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
|
Maksudnya:“Ya Allah!
Selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Dikau telah
berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Kau Maha Terpuji
lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana
Dikau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Dikau Maha
Terpuji lagi Maha Mulia.”
Hadith Sahih 3:- Abu Masud al-Ansori r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. datang kepada kami sedang kami berada dalam majlis Saad bin Ubadah. Kemudian Basyir bin Saad bertanya kepada baginda: Allah telah memerintahkan kepada kami berselawat kepadamu wahai Rasulullah, maka bagaimanakah (caranya) kami berselawat kepadamu? Abu Masud berkata: Lalu Rasulullah s.a.w. diam sehingga kami ingin kalau sekiranya dia (Basyir bin Saad) tidak bertanya kepada baginda. Kemudian Rasulullah s.a.w.bersabda: Kamu semua hendaklah mengucapkan:-
اللَّهُمَّ صَلّ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ
كَمَا صلَّيْتَ عَلى اِبْرَاهِيمَ وَعَلى اَلِ اِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى
مُحَمَّدٍ وَعَلى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلى إبْرَاهِيمَ وَعَلى آلِ
إِبْرَاهِيمِ فِي العَالمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
|
Maksudnya:“Ya Allah,
Selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Dikau telah
berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Ya Allah, Berkatilah Muhammad
dan keluarga Muhammad sebagaimana Dikau telah memberkati Ibrahim dan keluarga
Ibrahim mengatasi seluruh alam. Sesungguhnya Dikau Maha Terpuji lagi Maha
Mulia.”
Komen kami:- 2 selawat di atas sangat popular. Amalkan
keduanya. Lafaz yang sahih ini tiada perkataan sayyidina. Perkataan sayyidina
adalah penambahan atas kreativiti dan innovasi manusia.
Pilihan 1 : walaupun
ada pandangan yang mahukan penambahan perkataan sayyidina pada lafaz selawat
tapi pandangan ini memilih berpegang pada nas yang sorih dan sahih adalah
dikatakan lebih baik kerana ia adalah lafaz selawat yang diajar oleh nabi
sendiri. (Semasa nabi mengajar lafaz salawat, nabi menyebut nama nendanya,
Ibrahim dan keluarga Ibrahim tanpa sayyidina juga) Hujah terkuat ialah lafaz
ini sebenarnya bersifat tauqifi, bukan taufiqi. Besar dan penting
perbezaan dua perkataan ini. Fikiran logik mengatakan bahawa lebih baik ikut
yang sohih.
Pilihan 2: Kalau nak
berbalas hujah memang berjela. Sebahagian ada berkata terdapat bukti kes antaranya
di mana nabi menyuruh satu kaum berdiri tanda hormat kepada seorang sahabat,
ketua kaum mereka. Nabi dikatakan ada menyebut “tuan kamu”. Kalau betul
kes itu, kiranya satu hujah juga. Fikiran logik juga mengatakan apa salahnya,
kan lebih baik bunyi dan maksudnya.
Kesimpulan, tidak
mengapalah, ikutlah mana satu hujah (bukan suara hati atau emosi) yang anda
yakin kuat dan tepat.
Pilihan 3 : Mungkin ada
yang memilih begini :- di dalam ibadah khusus seperti solat, lafaz original
dikekalkan namun dalam keadaan santai, lafaz tambahan sayyidina digunapakai.
Tapi ingatlah
penghormatan sebenar adalah melalui berselawat. Banyaklah berselawat.
Hadith Sahih 4:- Abu Humaid al-Saaidi
r.a. berkata:“Sesungguhnya mereka (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah!
Bagaimana (cara) kami berselawat kepadamu? Jawab baginda: Ucapkanlah,
اللَّهُمَّ
صَلّ عَلى مُحَمَّدٍ وأَزْوَجِهِ وَذُرَّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلى آلِ إبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ
عَلى مُحَمَّدٍ وأَزْوَجِهِ وَذُرَّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلى آلِ
إبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
|
Maksudnya:“Ya Allah! Selawatlah kepada Muhammad dan
kepada isteri-isteri baginda dan keturunannya sebagaimana Dikau telah
berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah! Berkatilah Muhammad,
isteri-isteri beliau dan keturunannya sebagaimana Dikau telah memberkati
keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Dikau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” (Muttafaqun
‘alaih- Sahih Bukhari dan Muslim).
[Komen
kami : Selawat ini jarang kami dengar dibaca. Sudah sampai masanya kita
pelbagai cara berselawat di luar solat tapi dalam lingkungan hadith-hadith
sahih ]
Selawat
Paling Ringkas:-
اللَّهُمَّ
صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
“Ya Allah ! Berselawatlah ke atas Muhammad dan ke atas ahli
keluarga Muhammad.”
[
HR An-Nasai-1266 ]
اَللَّهُمَّ
صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ الَّنبِيِّ الأُمِّيِ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
“Ya Allah ! Berselawatlah ke atas Muhammad, Nabi yang
ummi dan ke atas ahli keluarga Muhammad.”
[ HR Abu Daud -0942 ]
Kesimpulan.
Salawat-salawat di atas
bersifat tauqifi. Bermakna walaupun ia diajar oleh nabi, ia sebenarnya petunjuk
dari Allah. Oleh itu, selawat-selawat yang lafaznya tidak dari tunjuk ajar nabi
(bukan dari hadith sahih) tidak memiliki keutamaan untuk didahulukan daripada
selawat-selawat di atas.
Selawat-selawat hasil
gubahan (jenis baru, tambahan atau pindaan) atas kreativiti manusia sealim
manapun, tiada ditentukan fadilat dan kelebihan sebagaimana selawat-selawat di
atas. Tidak wajar kita menjadikan selawat hasil ciptaan manusia sebagai amalan
harian, utama dan tetap sedangkan selawat ajaran nabi dipinggirkan, sekadar
kewajipan dalam solat. Inilah kefahaman yang betul yang perlu ada pada setiap
muslim dan mukmin.
Kegembiraan
Nabi dan Selawat.
Perhatikan betapa besar
kegembiraan nabi jika kita berselawat kepadanya. Pastinya mengikut selawat yang
nabi ajar dari tiga jenis selawat yang sahih di atas. Kegembiraan Rasulullah
s.a.w. terhadap amalan berselawat kepada baginda terserlah melalui hadis
berikut:
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ
قَالَ: خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاتَّبَعْتُهُ
حَتَّى دَخَلَ نَخْلاً فَسَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ حَتَّى خِفْتُ أَوْ خَشِيتُ
أَنْ يَكُونَ اللَّهُ قَدْ تَوَفَّاهُ أَوْ قَبَضَهُ. قَالَ: فَجِئْتُ أَنْظُرُ
فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ: مَا لَكَ يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ؟ قَالَ: فَذَكَرْتُ
ذَلِكَ لَهُ.فَقَالَ: إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلاَم قَالَ لِي: أَلاَ
أُبَشِّرُكَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ لَكَ: مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ
صَلَّيْتُ عَلَيْهِ وَمَنْ سَلَّمَ عَلَيْكَ سَلَّمْتُ عَلَيْهِ.(زاد في رواية):
فَسَجَدْتُ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ شُكْرًا.
“Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf (r.a.), dia berkata:
Rasulullah s.a.w. keluar, lalu aku mengikuti baginda sehingga memasuki kebun
kurma. Baginda lalu sujud dan alangkah lama sujud baginda sehingga aku bimbang
atau takut seandainya Allah mewafatkan baginda atau mencabut rohnya. (‘Abd
al-Rahman bin ‘Auf) meneruskan: Maka aku datang untuk melihat baginda, lalu
baginda mengangkat kepalanya dan bertanya: “Kenapa dengan kamu wahai ‘Abd
al-Rahman?” (‘Abd al-Rahman bin ‘Auf) berkata, maka aku menyebutkan apa yang
berlaku kepada baginda. Maka Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Jibrail ‘a.s.
berkata kepadaku, “Hendakkah aku gembirakan kamu bahawa sesungguhnya Allah Azza
wa Jalla telah berfirman kepada kamu: “Sesiapa yang berselawat ke atas kamu
maka Aku berselawat ke atasnya dan sesiapa yang memberi salam ke atas kamu maka
aku memberi salam ke atasnya.” (Dalam sebuah riwayat lain ditambah): “Maka aku
(Rasulullah) bersujud kepada Allah Azza wa Jalla kerana bersyukur.”
[Hadith Hasan: Sila rujuk Musnad Imam
Ahmad (Musnad al-‘Asyarah wa al-Mubasysyarin bi al-Jannah, hadith ‘Abd
al-Rahman bin ‘Auf) dan ia dinilai Hasan Lighairihi oleh al-Albani dalam Shahih
al-Targhib wa al-Tarhib, hadith no: 1658)].
Selawat yang
dimaksudkan dalam hadith ini sudah tentu
merujuk kepada hanya lafaz-lafaz selawat yang sahih daripada hadith sahih. Maka
ia sahih diperintah Allah s.w.t., sahih disukai oleh nabi s.a.w. sendiri dan
sahih juga manfaat dan fadilatnya yang gerenti dikembali dan dinikmati kepada
kita yang berselawat. Fadilat dan kenikmatan ini tidak wujud pada selawat
tafjiriyah, munjiyah atau lainnya.
Walaupun ada pandangan
yang keras yang melarang selawat-selawat ciptaan atau pindaan, kami tiada komen
kerana keilmuan kita tidak melayakkan kami untuk memberi penghukuman
sedemikian. Cuma kami menggesa kepada kefahaman yang betul khusus dari segi
keutamaan dan kelebihan.
Namun mari kita beri
perhatian kepada dalil-dalil ini:-
Hadith
Sahih.
Umar Al-Khattab r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Janganlah
kamu melampaui batas dengan mengagung-agungkan aku sebagai mana kaum Nasrani
(kristian) telah lakukan terhadap Isa anak Maryam. Sesungguhnya tiadalah aku
melainkan hanyalah hamba Allah, oleh itu gelarlah aku ‘Hamba Allah dan Pesuruh
Allah.’” [ Sahih Bukhari-3445 ]
Husain
bin Ali r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : “Janganlah kamu
mengangkat aku sedikit pun daripada kedudukan aku sekarang ini, kerana
sesungguhnya Allah telah mencipta aku sebagai seorang hambaNya sebelum dia
mengutuskan aku sebagai pesuruhNya.” [HR
Ath-Thabrani;29]
Mutarrif
bin Abdullah r.a berkata bahawa ayahnya pernah bersama satu rombongan daripada
Banu Amir pergi untuk berjumpa Rasulullah s.a.w. Apabila mereka tiba,mereka
berkata kepada Rasulullah : “Anta Saidina!” kau Tuan kami) , Rasulullah
menjawab : “Tuan kamu ialah Allah Tabaraka wa Ta’ala! “ Mereka (Banu
Amir) berkata lagi: “Engkau adalah yang paling mulia kemuliaannya, dan yang
paling besar keutamaannya.” Rasulullah menjawab: “Berkatalah kamu dengan
perkataan kamu itu, atau sebahagian perkataanmu itu, akan tetapi janganlah
sampai syaitan menjadikan kamu sebagai wakilnya.” [HR Abu-Daud-4638 ]
Di dalam satu peristiwa
yang lain pula : Anas bin Malik r.a.
berkata seorang Arab telah datang kepada Rasulullah s.a.w. berkata :“Ya
Saidina wa ibni Saudina!” (Wahai Tuan kami dan anak kepada Tuan kami!)
Rasulullah menjawab : “Wahai manusia! Berkatalah apa yang engkau hendaki,
akan tetapi berhati-hati lah kalau-kalau syaitan mempermainkan engkau dan
mempengaruhi engkau sehingga menyebabkan engkau melampaui batas.”
“sesungguhnya aku
adalah Muhammad ibni Abdillah; dan Aku bersumpah kepada Allah bahawasanya
aku tidak suka sesiapa
mengangkat kedudukan aku melebihi sedikit pun daripada apa yang telah Allah
tentukan bagi aku.”
[HR Ahmad 32] [ Rujuk Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, dirujukkitab
Taqwiyat-Ul-Iman,ms.149 tulisan Maulana Shah Muhammad Ismail].
Berselawat
Dengan Sempurna
Sesungguhnya
ia adalah suatu fakta bahawa lafaz selawat yang terbaik ialah apa yang diajar
oleh nabi s.a.w. kepada para Sahabat dan yang diriwayatkan melalui hadith hasan
dan sahih serta dijadikan sebagai lafaz selawat dalam solat.
Dalam
konteks ini, Imam As-Sayuti berkata: “Aku telah membaca keterangan Imam
As-Subki dalam kitab At-Tabaqat yang diterimanya daripada ayahnya, bahawa
sebaik-baik selawat yang dibaca ketika berselawat ialah selawat yang
dibaca di dalam solat ketika tasyahhud, iaitu yang diriwayatkan oleh Bukhari
dan Muslim. Maka sesiapa yang membacanya dia dilihat sebagai telah berselawat
dengan sempurna dan sesiapa yang membaca selainnya, maka mereka tetap
berada dalam keraguan, kerana bentuk-bentuk selawat yang diriwayatkan
oleh Bukhari dan Muslim itu adalah yang sering diajar oleh Nabi s.a.w.
sendiri dan yang sering disuruh supaya kita membacanya”.
(Sila
rujuk buku Pedoman Zikir Dan Doa,
Thinkers Library, Malaysia, 1987, hal: 91
oleh Prof. Dr. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy)
Wallahu
taala alam.
Hisham-ahmad.blogspot.com
No comments:
Post a Comment