“En
Saiful. Sebelum berkahwin dengan En. Zainuddin, kakak awak bekerja sebagai GRO[1].
Betul?
“Ya”
“Hasil keterangan awak juga
sebelum ini, kalau dapat saya simpulkan, kakak awak juga hidup sendiri, banyak
berseronok bersama kawan-kawan dari jenis kerja yang sama, terpaksa melayan
atau berpoya-poya dengan pelanggan atau lelaki bukan muhrim secara yang menyalahi
hukum syarak, betul?
‘Ya”
‘‘Kalau saya katakan bahawa
kehidupan kakak awak lebih baik dan lebih terjaga agamanya selepas berkahwin
dengan En. Zainudin dan sepanjang menjadi isterinya, berbanding sebelum kakak
awak berkahwin dengan En. Zainuddin. Setuju?
“Ya….”
Kes syariah di atas masih
segar diingatan saya. Masakan tidak, kes ini mendedahkan saya yang ketika itu
masih muda teruna, kepada realiti cinta dunia rumahtangga. Kekadang apabila
menyaksikan perseteruan antara seorang suami dan seorang isteri, kita menjadi
pelik dan bingung, bagaimana dulu mereka bercinta, melayari bahtera bahagia
beberapa lama, sehinggalah badai datang menghentam. Kemudian segalanya
berubah...
Zainuddin, seorang lelaki
yang beristeri dua. Isteri kedua, Maria[2] adalah
masih muda dan bekas GRO. Setelah beberapa tahun usia perkahwinan, Maria telah
‘lari’ atau meninggalkan rumah kediaman. Tanpa izin suami. Suami tidak mahu
ditaati. Suami tidak lagi disayangi. Ingin hidup bebas kembali. Mungkin apa
yang dihajati daripada lelaki ber’title’ suami, tidak diperolehi.
Zainuddin menaruh harapan
tinggi kepada saya agar memenangi kesnya. Padahal saya masih baru dalam dunia guaman dan masih
mentah pada pengalaman. Namun semangat orang muda, tiada apa yang dirasa dapat
menghalangnya.
Maria berusaha mengelakkan
diri daripada suami. Zainuddin yang masih mencintai terus menjejaki isteri.
Akhirnya, dapat juga dicari. .
Wanita cantik keseorangan
mengundang kehadiran kumbang-kumbang hitam. Timbul pelbagai tohmah dan
spekulasi tentang perlakuan curang isteri dikala suami tiada di sisi.
Bersendiri. Kata sebahagian orang,
masyarakat suka mengambil tahu tepi kain orang, cerita dalam kain orang lain
dijaja sana-sini, sedangkan kebenaran dakwaan belum diketahui. Tapi dalam kes
ini, bukan lagi fitnah, di daerah sebelah, ada laporan kes mahkamah. Isteri
didakwa berkhalwat dengan lelaki di sebuah rumah. Isteri mengaku bersalah.
“Masih
mahu lagi En. Zainuddin?. Ini dah serius, bukan lagi main-main”
“Dayuskah
saya En. Sham? Saya ambil dulu pun dia teruk. Saya jaga dia. Sekarang kalau dia
teruk pun. Saya sanggup ambil dia, jaga dia, didik dia semula. Saya sayang dia.
Saya tetap berusaha.”
“Emm.
Kalau dah begitu… ” tiada yang lain dapat saya katakan.
Isteri telah melakukan satu
perbuatan bersifat usyuz, tidak taat atau ingkar kepada suami.
Saya diarahkan memfailkan
permohonan perintah taat terhadap Maria. Maria mendapatkan khidmat peguam
wanita. Maria memfailkan tuntutan balas bagi permohonan cerai takliq dan
lain-lain tuntutan. Kes perbicaraan dijalankan dengan beberapa saksi dipihak
suami dan beberapa saksi dipihak Isteri.
Biasalah. Isteri memberi
keterangan bagaimana dia tidak bahagia hidup bermadu. Isteri pertama asyik
menganggu. Suami pula bukanlah mampu.
“Cakap
sahaja besar, projek sini, projek sana. Tapi apa yang saya dapat, tidakpun
seberapa” kata isteri.
“Habuk
pun, tarak?,” saya menambah di dalam hati.
Saksi isteri termasuklah
kawan baiknya. Bekas GRO juga. Kini ahli
perniagaan. Bidang kecantikan dan kosmetik. Orangnya tidak dinafi, memang
cantik. Bertudung dengan sopan, Kelihatan manis menawan. Tutur kata lembut dan
sopan. Dia memberi keterangan dari kandang saksi dan seboleh-boleh menyokong,
menyebelahi si isteri.
“Tengok
tu, jangan sampai terpikat, En Sham”.
“Eh, tak, taklah, saya
peguam, nak tengok cara dia cakap, kejujuran dia, bohong ke dia. Body language
dia” terkujat juga saya disergah klien di sebelah.
“Body language takpe, jangan
body yang takda language. Ketat baju kurung tu” Gurau
En. Zainuddin lagi.
“Ketat.
Ye ke? Tak perasan pulak!” jawab saya.
“Sekarang
ni sopanlah jadi saksi. En. Sham, jumpa kat mana-mana nanti. Tengok macam mana
punya seksi!”
Keterangan saksi ini kurang
bermerit dan dilemahkan dengan keperibadiannya.
Hasil soal balas, dia mengaku seorang kontraktor kaya dikenali membiayai
peniagaan butiknya. Lelaki itu menjadi
marah lalu memecahkan sebahagian premis butik itu setelah timbul gossip dengan
lelaki lain pula. Dunia, dunia.
Saksi seorang lagi, adiknya
sendiri. Saiful. Lelaki berwatak lembut, bekerja di supermarket. Keterangannya lebih membantu kami menyakinkan
agar perintah Taat diberikan.
Setelah beberapa lama.
Berbulan lamanya. Kes selesai. Perintah Taat diperolehi. Isteri diarahkan taat
kepada suami dan kembali ke kediaman suami, disamping arahan-arahan perintah
yang lain.
Lain yang diharap, lain pula
yang terjadi. Isteri bukan sahaja enggan kembali, Isteri telah membawa diri.
Isteri telah melarikan diri dengan
status isteri.
Kali ini entah kemana si
isteri menghilang? Sampai bila dia dapat bertahan dengan cara hidup yang
malang?
Suami ada menyatakan niat
untuk menguatkuasakan perintah. Saya kata carilah dulu. Fikirkan dulu. Saya
sebenarnya sudah tidak berminat lagi. Saya yakin siisteri tidak mahu lagi
kembali. Saya harap suami melepaskan isterinya supaya isterinya boleh berkahwin
lain. Tapi saya kenal dia, dia tidak akan lepaskan. Saya takut, jangan sampai
isteri tidak layak lagi hidup di mukabumi ini sekiranya berlaku keterlanjuran
yang dikesali[3].
Perkahwinan bukan sekadar
bersatu fizikal dan pemilikan, tetapi hati. Bagaimana hati yang tidak lagi
mahu, dapat untuk bersatu.
Undang-undang. Ya, di sisi
undang-undang, isteri adalah nusyuz, apabila ingkar taat. Hak-hak tertentu
seperti nafkah diri terlucut selagi masih dalam ketidaktaatan.
Hukum.
Ya, dari sudut hukum, jika benarlah keputusan ini di sisi Allah, isteri sudah
tentu bersalah. Berdosa besar.
Hati dan Realiti. Isteri
memang sudah tidak mahu bersama lagi. Ini soal hati. Hati telah membenci.
Itulah realiti. Bagaimana undang-undang dapat memaksa sekeping hati untuk
kembali mencintai!
Perintah
Taat cuba memaksa ketaatan tetapi bolehkah ketaatan secara keterpaksaan?
Untuk detail, sila rujuk di dalam blog kerana Bab ini agak
panjang.
Wahai sekelian gadis dan teruna,
1.
Kisah-kisah benar yang tadi yang telah kita baca semuanya adalah bermula
atas nama cinta. Cinta yang tidak berpenghujung bahagia. Adakah kita terfikir,
cinta kita boleh menerima nasib dan kesudahan yang sama? Tidak kita tertanya,
di mana punca masalahnya? Tidakkah kita ingin tahu dimanakah silapnya?
2.
Tidak saya bermaksud untuk menakutkan sesiapa. Mungkin saya bukan
pembimbing motivasi tetapi saya pengkhabar realiti. Realiti bukan seperti drama
Hindustan, sentiasa bahagia dipengakhiran.
Realiti hidup penuh ranjau dan liku sepanjang perjalanan. Kadangkala
masih perlu menangung derita, hingga kehujung nyawa.
3.
Binalah kehidupan rumahtangga dengan professional dan persediaan. Bukan
sekadar bunga-bunga cinta di alam khayalan. Kita tidak boleh makan cinta,
anak-anak begitu juga. kita perlu makan nasi 2-3 kali sehari. Kita mungkin
boleh tidur berbantalkan lengan pasangan. Tetapi berapa lama dapat bertahan.
Seminggu dua atau sebulan. Akhirnya bantal empuk juga lebih selesa menjadi
gantian.
4.
Ada pepatah mana saya tak ingat, rasanya dari Negara China atau Asia
barat. Lelaki yang hebat, bukanlah yang
asyik meniduri wanita yang berbeza sampai tak larat atau macam tiada kerja lain
untuk dibuat. Lelaki yang hebat ialah yang meniduri perempuan yang sama,
disetiap malam yang berbeza, sehingga ke hujung nyawa. Bagi kita orang Islam,
suami-isteri tidur bersama dalam iman dan cinta, sepnajang hayat di dunia dan
kelak menjadi pasangan bahagia di dalam syurga. In sya Allah.
5.
Kita perlukan cinta si dia. Kita juga perlu mencintai dia. Itu yang
membezakannya dari sekelian lelaki atau wanita yang baik di luar sana. Namun
kita mesti letakkan syarat pada cinta. Kita mesti professional dan praktikal
dalam bercinta. Cinta yang diserikan dengan hak dan tanggungjawab seperti
nafkah makan, minum, kediaman, layanan dan kasih sayang.
Di dalam suatu hadith nabi yang
bermaksud : “.... dari Abdullah bin Abbas bahawa dia berkata; ..... Baginda
s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku melihat syurga -atau- syurga telah
diperlihatkan padaku, lalu aku pun hendak mengambil seranting darinya,
sekiranya kau dapat mengambilnya nescaya kalian akan memakannya selama dunia
masih ada. Kemudian aku melihat neraka, maka aku tidak pernah melihat pemandangan
seperti yang terjadi pada hari ini. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah
wanita." Mereka bertanya lagi, "Kenapa wahai Rasulullah s.a.w.."
Baginda s.a.w. menjawab: "Kerana kekufuran mereka." Para sahabat
bertanya lagi, "Apakah lantaran kekafiran mereka kepada Allah s.w.t?"
Baginda s.a.w. menjawab:
"Mereka mengkufuri perlakuan dan kebaikan suaminya. Sekiranya kamu berbuat
baik kepada salah seorang dari mereka selama setahun penuh, lalu dia melihat
sesuatu yang tidak baik darimu, ia pun akan berkata, 'Aku tidak melihat
kebaikan sedikit pun darimu.'"[4]
Wahai sekelian gadis dan teruna,
1.
Wahai gadis bila kau bersuami maka peringatkan diri mu tentang
hadith tadi. Bersabarlah atas kekurangan pada diri suami yang dinikahi. Jangan
kelemahannya yang satu menyebabkan kita melupakan segala kebaikannya yang
beribu. Jangan kita tergamak mengeluarkan kata cerca kepadanya yang boleh
menyebabkan kita mendapat celaka.
2.
Wahai gadis, saya sebenarnya tidak suka memberi nasihat sebegini. Namun suasana masa kini
yang sudah tidak islamik, kesusahan mencari teman hidup yang baik lagi
dipercayai, dikau perlu mengambil langkah berhati-hati, yang jauh lebih tinggi.
3.
Bekerjayalah sebelum berumahtangga. Kerjaya yang sesuai dengan
dirimu, mampu menanggung keperluan diri dan sedikit untuk dihulurkan buat
ibubapamu.
4.
Serahkan sepenuhnya cintamu, dapatkan sepenuh cintanya. Tapi tidak soal
kepercayaan. Hanya diserahkan secara pengawasan. Bak tali yang mengikat lembu,
bila jauh terlepas, tarik semula agar dekat kepadamu.
5.
Sekiranya kau sudah bersedia untuk berumahtangga, ambillah dari saya ini
sesuatu yang berguna. Suatu tips rumahtangga. Mengharap bahagia tetapi
jangan terpedaya. Kebijaksanaan dalam ketaatan. Erti sebenar kepercayaan.
Rahsia ini perlu kau ketahui, sebaik sahaja kau melangkah turun dari tahta
raja, upps bukan! permaisuri sehari.
6.
Pada soal pembelian harta dan pemunyaan benda, pastikan jika tidak atas
namamu seorang, biarlah berkongsi bersama pemilikan. Namamu didaftarkan khusus
pada tanah, rumah dan kenderaaan. Manakala pada kos pembayaran penuh atau
ansuran tetap bulanan, biarlah suami bertanggungjawab seorang, kecualilah kau
ingin dan reda berkongsi membayar bersama, tapi ingat! hanya bila kau juga
bekerja, dengan peratusan bebanan yang
adil dan saksama, mengambilkira tanggungjawab lain dalam rumahtangga.
7.
Bagi lain-lain tanggungan seperti kos penjagaan anak dan makanan, kalau
suami berpendapatan sederhana dan dikau ada pekerjaan, sumbanglah sedikit
kepada kos perbelanjaan. Walau apapun, pastikan kau mempunyai simpanan tetap
sendiri setiap bulan.
8.
Buatlah fail rumahtangga dah segala perbelanjaan. Simpanlah resit,
dokumen dan bukti sepanjang kehidupan. Kata mat salleh; ‘hope for the best
prepare for the worst’.
9.
Wahai teruna, jangan marah atas nasihat tadi, kalau kita jujur
tiada apa yang perlu dikhuatiri. Biarlah mereka bersedia, kita yang jujur ini tidak
perlu risau apa-apa selagi kita masih cinta hatinya. Tentu kita juga mahu agar
kakak dan adik perempuan kita bersedia dengan cara yang sama.
Hampir saya
terlupa untuk berkongsi perkembangan terbaru kes syariah di atas tadi. Setakat
yang saya ketahui si suami kedengaran sudah berkahwin lagi. Satu lagi. Tiada
siapa menyangka pilihan dia. Gadis seberang yang rajin bekerja.
Seorang gadis
muda memenuhi citarasa. Mungkin kali ini ini sisuami akan benar-benar
berpuashati. Ketaatan orang yang mengenang budi, pasti tidak berbelah bagi.
Duhai Maria,
Isteri kedua.
walau dimana
dikau berada…
Semoga kau
mendapat hidayah dan dilindungi Allah dari kezaliman dunia dan dari kezaliman
dirimu sendiri.
Wahai sekelian gadis dan teruna,
kalau kau
bekerja selepas berkahwin nanti
pastikan
layanan ‘itu’ kepada suami sentiasa berkualiti
bagaimana
caranya, terserah apa yang kau sukai dan dia sukai
sekalipun dia
terangsang godaan diluar yang ‘liar’
pasti dia
kembali kepadamu untuk di ‘jinakkan’.
Di dalam satu
hadith sahih[5], maksudnya, daripada
Muslim dengan sanad daripada Jabir, Rasulullah s.a.w. melihat seorang wanita
lalu baginda datang kepada Zainab[6]
ketika Zainab mengutuskan kulit binatang, Nabi meyempurnakan ‘hajat’nya.
Kemudian Nabi keluar berjumpa sahabat dan bersabda, “Wanita itu datang dalam
bentuk syaitan[7] dan pergi dalam bentuk
syaitan juga. Bila kamu melihat wanita[8]
, baliklah isteri kamu[9] kerana
perkara itu akan menahan jiwa daripada perbuatan tidak baik (zina).
Justeru,
sarananku dalam melaksanakan maksud hadith ini dalam mempraktiskan pesanan
nabi;-
1.
isteri sms suami, beritahu, “suamiku tersayang, kalau dikau
tertengok ‘betina’ gatal kat luar sana yang merangsangkan, segera balik rumah,
biar saya bagi ‘ubat penenang’.”
2.
kalau isteri bekerja, rancangkan masa bila nak lakukannya. Janji
kita memahami bahawa syahwat suami perlu ditangani oleh isteri, hanya
isteri.
3.
Tolonglah para isteri permudahkan. Tidak kira betapa tinggi
jawatan. Jangan sengaja dilambatkan, percepatkan. Ada banyak kemudahan.
Telekomunikasi, transportasi dan akomodasi. Tiada alasan lagi.
4.
Tapi suami pula, harap bertolerasi, ini zaman kontemporari.
Sabar dahulu, isteri ada ‘meeting’, kenalah tunggu. Rendahkan pandangan,
jangan asyik tengok benda terlarang.
5.
Suami dan isteri ,gunakan budibicara berhemah dan kebijaksanaan
dan memahami hadith ini dan untuk perlaksanaan. Biarlah rumahtanga berkekalan...
tapi dengan api kasih yang kehangatan bukan dingin beku umpama salju.
[1]General Relation Officer
[2]bukan
nama sebenar
[4]Bukhari. Sahih Bukhari. No hadith 4798 (hadith yang panjang diringkas,
dipotong sebahagian meninggal isi yang
relevan dengan maksud kisah di atas).
[6]Isteri baginda
[7]Dalam
bentuk godaannya, ransangannya
[8] Yang
‘menganggu perasaan’, fahamkan.
[9]Tentu bagi maksud yang juga difahami juga
No comments:
Post a Comment