Social Icons

Pages

Thursday, January 2, 2014

Masalah Dalam Kerja, Antara Kaedah Penyelesaian menurut Quran & Sunnah



Fakta kes. Hari itu, seseorang mengadu kepada saya tentang bagaimana dia merasai dirinya dizalimi dan dianiayai dalam urusan kerja dalam satu organisasi kerja. Dia diberi  fungsi dan tugasan yang lebih berat berbanding dengan rakan-rakan sejawatan yang lain dalam keadaan dia meyakini bahawa pembahagian dan penyerahan tugas itu adalah tidak adil. (Isu motif tidak dibicarakan) Orang yang ditugaskan dan orang yang mengetuai organisasi itu adalah pemegang amanah mewakili kepentingan lebih besar.

Nasihat. Apa yang boleh saya katakan kepadanya ialah pertamanya, bersabarlah dan mengadulah dahulu kepada Pemilik manusia kerana manusia yang tidak adil atau melakukan ketidakadilan itu juga dimiliki-Nya. Sesungguhnya al Quran juga telah menyarankan agar kita memohon pertolongan dengan jalan sabar dan solat. (al Baqarah).

Kaedah Penyelesaian.
Seterusnya saya mengatakan bahawa apabila wujud situasi konflik sebegini, Al Quran juga memberi panduan penyelesaian konflik  (conflict resolution) antaranya dalam ayat di bawah:- 

 “maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepadaNya”.

Berdasarkan ayat di atas, lima syarat penyelesaian konflik ini ialah: Dengan rahmat Allah kita berusaha (1) Bersikap lemah lembut dengan orang yang kita berkonflik dengannya. (2) Memaafkan. Maafkan orang yang kita bersengketa dengannya, walaupun kesalahan dan punca konflik adalah kerana dirinya. (3) Minta ampun kepada Allah bagi dirinya (satu syarat hebat yang tidak tersangka) (4) Bermesyuarat. Berdiskusi, berbincang bermakna komunikasi dua hala bukan memberi arahan sebaliknya mencapai keputusan dan persetujuan bersama. (5) Apabila telah berazam iaitu yakin dengan usaha, cara  dan keputusan yang dibuat, maka barulah kita bertawakal kepada Allah s.w.t.   

Berat cara di atas, bukan? Ya berat. Sangat tidak mudah. Ia hanya dapat dilakukan dengan hati yang tulus ikhlas. Jika kita dapat lakukan, bukankah itu yang lebih diredai dan disukai oleh Allah? Bukankah mencari keredaan Allah itu, itulah yang utama.  Itulah ujian untuk kita, dan jika kita melepasinya, itulah kemenangan atas ujian. In sya Allah.

Itu (di atas) bolehlah kita anggap sebagai pilihan pertama. Di sana, ada juga pilihan lain iaitu boleh kita anggap pilihan akhir iaitu adanya hak bagi orang yang merasa dirinya dizalimi untuk berdoa bagi ‘pembalasan buruk’ kepada orang yang menzalimi. Ia pernah dilakukan oleh sahabat Rasulullah tetapi dalam kes kezaliman yang sgt serius seperti difitnah. Manusia yang memfitnah sahabat itu telah mendapatkan kehinaan semasa didunia lagi dan sehinggakan dia sendiri sedar bahawa bala yang ditimpakan atas dirinya adalah kerana kezaliman fitnahnya.

Isunya dalam kes kita hari ini, adakah ia cukup serius untuk kita sampai perlu berdoa begini. Jika tidak pasti, lakukan doa ini secara pengataan bersyarat... iaitu contoh “seandainya ia suatu kezaliman kepada diriku...”  Apa pun, Allah yang maha adil akan memberikan keadilan kepada diri kita dan dirinya.

Jawatan dan Kedudukan Adalah Penyesalan Jika...
Manakala buat mereka yang mempunyai kuasa, diberi kuasa dalam apa jua tugas, jawatan dan kedudukan yang dengannya mungkin mendatang rasa ‘berpengaruh’  dan menikmati faedah kewangan yang lebih baik... ketahuilah padanya adalah bebanan amanah yang berat...  .... yang akan dipertanggungjawabkan kelak.
Dalam hadith sahih;

dari Abu Dzar dia berkata, saya berkata, "Wahai Rasulullah, tidakkah anda menjadikanku sebagai pegawai (diberi jawatan)?" Abu Dzar berkata, "Kemudian baginda menepuk bahuku dengan tangan baginda seraya bersabda: "Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah (untuk memegang jawatan/tugasan) padahal jawatan merupakan amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi siapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan tugas dengan benar."[2]

Sentiasalah Menegakkan Kebenaran dan Berlaku Adillah Kepada Sesiapa Sahaja
Kita diseru dan perlu berlaku adil dalam semua perkara. Keadilan juga memerlukan kita menolak segala unsur berat sebelah (biased) dan sikap berpihak. Keadilan mengkehendaki agar  pertimbangan dibuat atas hujah, fakta dan dalil. Hanya dengan itu kebenaran diperolehi atau sekurang-kurangnya dapat dihampiri. Selain daripada itu adalah kezaliman. Kezaliman diri sendiri yang akan dipertanggungjawab nanti.

“Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (Kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.Surah al-Maa’idah 5:8)

Kita akan dipersoalkan atas setiap pilihan, keputusan dan tindakan yang kita ambil. Kita akan dipertanggungjawabkan.
 
  Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.      (surah al-israa’17:36)

Inilah sikap adil dalam diri, iaitu mereka turut mendengar pelbagai pendapat dan pandangan. Lalu mereka memilih yang paling baik. Inilah yang diperintahkan Allah swt.
 
 Maka gembirakanlah hamba-hamba-Ku, yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan mengikut apa yang terbaik ( Untuk diamalkan dalam urusan agama), mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk  oleh Allah dan mereka itulah orang yang berakal sempurna. – al-Zumar (39) : 17-18

Kewajipan Menyampaikan Kebenaran   

Bagi mereka yang di bawah, pilihan terbaik bagi orang yang yang terbaik ialah untuk berani menyuarakan kebenaran. Bersikap telus dan jelas dalam menyampaikan pandangan. Jangan bersikap mencari sokongan, takutkan tekanan atau mengharapkan balasan.    
Kita hendaklah berkata tepat dan benar. Telus dan jelas dengan disokong oleh keterangan, hujah dan dalil. Janganlah kita disuruh sahaja mengikuti sesuatu pandangan atau keputusan sedangkan ia tidak baik, tidak bagus atau di sana ada pandangan dan cara yang lebih baik dan islamik.


“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat-benar (dalam segala perkara). Supaya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya , maka sesungguhnya dia telah Berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan”.al-Ahzaab (33) : 70-71

Inilah serba sedikit nasihat dengan berbuktikan dalil dan nas al Quran dan al-hadith. Semoga membantu. Wallahu taala alam.

hisham-ahmad.blogspot.com


[1] Al-Quran, Ali imran (3) ayat 159
[2] Muslim, Sahih Muslim,  No. Hadith 3404 (Sanad dipendekkan)

No comments:

Post a Comment