Social Icons

Pages

Thursday, December 26, 2013

Autisme Jalan Ke Syurga (2)



dari mana, di mana, ke mana .........

Kisah 2:- Sketsa Di Pejabat Agama

Ustazah cakap senanglah. Cuba kalau ustazah yang dapat anak macam ni!?” luah seorang wanita muda tanpa terkawal emosinya.

Berderau darah ustazah Fatimah mendengar kata wanita muda ini.

“Teruknya perempuan ni. Sahaja nak menyakitkan hati. Itulah agaknya sebab diuji  terlintas di hati ustazah Fatimah. Kegeraman.

“Astagfirullah!  terhambur keluar kata dari mulut ustazah. Rasa sesal dengan bisikan yang menganggu perasaan. Tipudaya syaitan.

“Apa ustazah!”

“Takda apa.  Maafkan saya, mungkin saya tidak dapat mengalami apa yang sedang awak alami. Jadi saya tidak dapat merasa seperti apa yang awak rasa. Kalau awak tanya bagaimana kalau saya dikurniakan Allah anak sedemikian? Sukar untuk saya memberi jawapan”

“Tentulah, saya sentiasa berdoa untuk anak yang sihat dan sempurna sifatnya. Tapi kalau Allah beri juga, saya reda dan terima. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita, walaupun kita mungkin tidak nampak (hikmah) itu semua...”

“maafkan saya, ustazah.. celupar mulut saya. Saya ‘stress’dan kecewa. Ibu mertua tak dapat terima. Seolah-olah semuanya kesalahan saya. Suami pula tidak membela... seperti membenarkan kata ibunya.”

“Bersabarlah...”

“terimakasih ustazah. Saya kini lebih memahami. Saya akan menjaga anak ini sepenuh hati. Terserahlah kepada suami kalau masih inginkan kami.”

“Alhamdulillah. Tapi pertahankan dulu rumahtangga. Beri suami sedikit masa. Insya Allah dia akan menerima jua akhirnya. Ingat! jangan jadikan penceraian jalan mudah penyelesaian. Anak ini perlukan ibu dan bapa untuk sokongan.”

“terima kasih Ustazah.”

Wanita muda dengan masalah telahpun meninggalkan Ustazah Fatimah. Selesai satu sesi kaunseling di dalam bilik di suatu pejabat agama. Ustazah Fatimah termenung seketika di atas kerusi empuknya. Dia juga masih muda. Baru 5 bulan mengecap bahagia. Bahagianya juga insya Allah bakal berganda. Dia mengurut perutnya perlahan-lahan. Syukur, dah masuk 5 bulan. Semoga bahagia buatnya akan sentiasa berterusan. 

Tiba-tiba terlintas sesuatu mengganggu perasaan. Mana mungkin kebahagian akan sentiasa berpanjangan. Pasti didatangi ujian. Itulah hakikat kehidupan, untuk mengukur nilai iman. 

“Bagaimana kalau aku diuji sesuatu dengan kandungan ini.”

“Astagfirullah al -adzim. Apa yang aku fikirkan ni. Ya, Allah lindungilah aku dari apa yang aku fikirkan tadi. ”

Ustazah Fatimah berasa begitu sayu dihati. Titisan air mengalir leju dari mata menuruni pipi. Perlahan-lahan  kedua tangan diangkat dan ditadahkan. 

 “Ya, Allah, aku tidak sekuat yang aku fikirkan. Aku takut aku tidak setabah seperti yang aku selalu katakan. Janganlah daku dibebani dengan suatu yang diluar kemampuan. Berilah aku anak yang sihat tubuh badan dan sihat akal fikiran.”

Kisah di atas adalah sedutan sebahagian daripada isikandung buku Aku bersyukur anakku autisme 2013.

(* Siapa berminat untuk mendapatkan buku saya “Aku bersyukur anakku autisme 2013 (Telaga Biru), Baitullah aku datang, (Karangkraf) dan Syurga lebih hampir tanpa Riba (Galeri Ilmu), Sila dapatkan dipasaran atau layari blog saya untuk pembelian atau sms 019-7272817)

No comments:

Post a Comment