Social Icons

Pages

Monday, December 30, 2013

Bidaah Adalah Bagus!



 Aku masih tidak lupa mengenai satu ceramah agama di suatu surau di taman perumahan antara terbesar di Batu Pahat. Ustaz berbadan gempal ini bersuara lantang dan serius tetapi amat disukai ramai kerana pandai buat kelakar secara selamba dan sinis.

Tiba-tiba dalam ceramahnya, ustaz itu menampakkan ketidakpuashatiannya kepada suatu golongan yang disebut puak wahabi. Marahnya kepada puak wahabi bukan dibuat-buat. Puak itu dikatakan suka membidaahkan orang.  Ini bidaah itu bidaah, semua bidaah.  Itu tak boleh ini tak boleh. Menurutnya lagi, puak ni pergi dan berkempen di luar negara agar pelajar Malaysia tidak membaca kitab majmuk syarif. Ustaz ini turut menamakan antara tokoh puak wahabi itu ialah ___ seorang ilmuan agama muda yang terkenal di sebelah utara sana.

Pernah menjawat jawatan tertinggi di jabatan agama. Nama ilmuan itu disebut dengan jelas. Selesai ceramah, ustaz itu kemudian menjual roti canai segera diperkarangan (serambi) sebelah kiri  tempat solat utama yang ada digunakan untuk solat sunat dan solat tarawikh.

Sebagai klimaks, si ustaz berkata lagi memerli puak yang tidak disukai “Semua benda baru tak boleh. Semua benda baru tak boleh, bidaah, sesat. Habis tu, puak tu pandai pula naik kapalterbang. Bukan benda baru ke, naiklah unta”. Tergelak sakan kebanyakan yang ada di dalam surau. 

Aku juga ketawa... sedikit.

Aku sedikit kesal dengan cara ustaz ini. Sama ada dia tidak tahu apa sebenar bidaah itu, atau dia sengaja mengelirukan atau atas apa sebab yang lain. Ilmu semestinya disampaikan dengan adil. Adil itu lebih dekat dengan takwa. Jika tidak berpuashati dengan suatu golongan agama, berilah contoh dan hujah yang jelas dan adil. Jangan diburukkan begitu sahaja seolah-olah kita yang mendengar ini disuruh menurut sahaja tanpa perlu berfikir dan menilai mana yang benar dan yang salah.

Semua ilmuan yang membicarakan isu bidaah ini tahu bahawa bidaah yang menjadi isu adalah melibat hal ibadah (yang khusus) bukan melibatkan ciptaan moden seperti kapal terbang. Ciptaan seperti kapal terbang adalah benda baru atas inovasi dan kebijaksanaan manusia dalam urusan dunia.   

Dalil: Hadith Sahih 1:-   
إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ دِينِكُمْ فَخُذُوا بِهِ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ رَأْيٍ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ.

Sesungguhnya aku tidak lain adalah seorang manusia. Jika aku menyuruh kalian dalam sesuatu urusan agama kalian, maka berpeganglah dengannya. Sebaliknya apabila aku menyuruh kalian dengan sesuatu dari pandangan peribadiku, maka sesungguhnya aku tidak lain adalah seorang manusia (yang boleh diambil atau ditolak pandangan itu).

 (Sahih Muslim. Rujuk hadith no: 2362 (Kitab al-Fadhail, Bab kewajipan mengikuti apa yang baginda sampaikan dalam urusan syari‘at, bukan apa yang baginda s.a.w. sebut dalam urusan dunia, di mana ia terpulang kepada pandangan sendiri).

Hadith Sahih 2:- 
أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ
“Kalian lebih mengetahui tentang urusan dunia kalian”.

Hadith Sahih 3:- 

أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِضَبٍّ مَشْوِيٍّ فَأَهْوَى إِلَيْهِ لِيَأْكُلَ فَقِيلَ لَهُ: إِنَّهُ ضَبٌّ. فَأَمْسَكَ يَدَهُ فَقَالَ خَالِدٌ: أَحَرَامٌ هُوَ؟ قَالَ: لاَ وَلَكِنَّهُ لاَ يَكُونُ بِأَرْضِ قَوْمِي فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ. فَأَكَلَ خَالِدٌ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْظُرُ.

“Dihidangkan kepada nabi s.a.w. Dhab yang dipanggang. Maka baginda menghulurkan tangan kepadanya untuk dimakan, lalu dikatakan kepada baginda: “Sesungguhnya ia adalah dhab.” Lalu baginda menarik tangannya, maka berkata Khalid: “Apakah ia haram?”. Rasulullah menjawab: “Tidak, akan tetapi ia tidak terdapat di tempat kaumku dan aku mendapati diriku tidak berselera terhadapnya.” Maka Khalid makan (dhab itu) sementara Rasulullah s.a.w. memerhatikannya.

[Sahih Bukhari. Rujuk hadith no: 5400 (Kitab al-Ath‘imah, Bab daging panggang dan firman Allah…)].

 Hadith Sahih 4:- 

Muslim meriwayatkan daripada Rafi bin Khadij r.a. katanya : Terjemahan : “ Nabi s.a.w. datang dikala mereka sedang mendebungakan pohon tamar, maka beliau bersabda : Apakah yang kamu lakukan? Mereka menjawab: Kami sedang mendebungakan pohon tamar. Rasulullah s.a.w. bersabda: Mudah-mudahan jika kamu tidak lakukan adalah lebih baik. Lalu mereka meninggalkan kerja mendebungakan pohon tamar itu. Maka buah tamar menjadi kurang lalu mereka menyebutkannya kepada Rasulullah s.a.w.  Beliau lantas bersabda : Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia. Jika aku menyuruh kamu dengan sesuatu dari urusan agama kamu maka terimalah dia, dan apabila aku menyuruh kamu dengan sesuatu  (urusan  dunia) maka aku hanyalah seorang manusia.”

[Rujuk  al – Misykat 1 / 147 / 52 – 53 Himpunan Hadith-Hadith Sahih Jilid 1 (M/S : 72) Hadith No.24  : Drs. Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris]

Nasihat:- Setakat saat ini, setelah aku memikirkan segala hujah (dalil dan fakta) dengan dibenarkan naluri hati dan fikiran logik, aku setuju dengan golongan yang menyatakan bahawa dalam hal ibadah, segala apa dan setakat apa yang ditunjuki nabi adalah telah cukup dan memadai tanpa perlu lebih daripada itu. Tidak perlu kepada edisi tambahan, pindaan dan  ubahsuai dari segi isikandung dan kaifiat.

Sebagai manusia yang lemah ini, untuk melaksanakan dalam bentuk kesederhanaan seperti yang dimaksudkan oleh nabi pun sudah menjadi suatu yang memerlukan kesungguhan dan kecekalan, dan jika berjaya dibuat dengan baik dan istiqamah, ia sudahpun menjadi mukmin yang cemerlang.
Selain itu, kita perlukan masa hidup ini untuk banyak perkara lain seperti:-

(1)    Kita ada subjek akhlak yang dicontohkan nabi s.a.w. yang kita manusia biasa sangat sukar untuk mempraktikkan dalam seluruh aspek kehidupan harian. Sentiasa sahaja kita hilang sabar, marah, tidak ikhlas, rasa dengki, gagal bercakap benar sentiasa, tidak mudah menghulur bantuan dan sebagainya.  Sedangkan ia perkara sangat penting untuk dikorbankan banyak masa bagi menyempurnakannya.

(2)   Dalam urusan dunia kita masih gagal pada banyak aspek seperti teknologi, ketenteraan dan ekonomi sedangkan ia adalah bidang-bidang bidaah yang sangat perlu kita kuasai demi kebaikan umat Islam. Kita perlukan anak-anak bijak pandai, pakar ekonomi mukmin, saintis mukmin, jurutera mukmin, doktor mukmin, dan pelbagai pakar mukmin dalam pelbagai bidang kepakaran.

Terlalu penting untuk kita melakukan dan melipatgandakan bidaah-bidaah  dalam urusan dunia bagi manfaat umat Islam....

Justeru bidaah adalah perlu dan bagus dalam urusan dunia.

No comments:

Post a Comment