Social Icons

Pages

Friday, December 20, 2013

T20 versus T3. Siapa menang, siapa kalah?



Anda T yang mana!?

Sebelum ini kita digemparkan dengan isu di mana Dato Mufti Kedah telah melakukan ‘serangan’ terhadap golongan Wahabi iaitu pada jenis pegangan akidah dan kefahaman tauhid mereka. Nama Dr Asri dikaitkan menjadikan Dr Asri ‘menyerang balas’ melalui tawaran prosiding “Mubahalah” tetapi tiada diketahui adanya sambutan ‘keberanian’ daripada pihak Mufti.

Ini mengecewakan peminat dan pemerhati dari kalangan generasi muda yang ingin melihat hujah dan keterangan bagi mengetahui kebenaran. ‘Diam’ nya Dato Mufti Kedah boleh dianggap sebagai tewas pusingan pertama 0-1. Jika beliau tidak sengaja melakukan kesilapan, maka kami mengharapkan beliau mengaku salah dan minta maaf. Jika beliau di pihak yang benar, ‘ayuh’ buktikan.  As simple as that. Benarkah pepatah melayu ada dikata  “terlajak perahu boleh diundur terlajak kata...buktikan dimahkamah terbuka”

Apa yang diketahui terdapat pula sidang akhbar dibuat antaranya oleh Dr Hanafi dan/atau Abu Syafiq bagi menjawab seperti mewakili Dato Mufti Kedah namun dari sudut undang-undang mereka mungkin dianggap tiada locus standi, atau tak relevan. Biarlah pihak yang ‘mencederakan dan dicederakan’ yang jawab-menjawab.  After all, they are both big boys.

Dr. Zamihan juga ada ditanya mengenai isu ini, tetapi selain daripada memihak kepada Dato Mufti Kedah dan tidak begitu menjawab kepada isu kes itu, dia mengambil peluang untuk ‘menyerang’ Dr Asri. Beliau merujuk ‘kesalahan berat’ Dr Asri dalam hal antaranya ‘tawasul’ dan mengkritik  konsep tauhid 3T, jika saya tidak silap pada apa yang diingat.  

Apa pun kita sudah cukup tahu... siapa Dr Asri di ‘hati’... maaf, di ‘mata’ Dr Zamihan.

Maksud saya, ‘Perang’ antara ‘so-called’ ilmuan-ilmuan agama ini semuanya mempunyai kaitan isu akidah, tauhid. Jika perang ini berterusan, tidak dapat didamaikan... atau sekurang-kurangnya dilakukan ‘gencatan senjata’ ... maka yang luka dan tercedera adalah generasi muda. Mereka akan mula memihak antara 2 pihak bertelagah yang jenderal perangnya ialah golongan ustaz. Mereka akan meneruskan perang dingin yang sekali sekala menjadi panas. Medan  perang utama mereka ialah alam internet seperti ruangan blog, facebook, forum dll dan setakat ini masih lagi pada serangan kutuk-mengutuk dan sesat menyesatkan. Belum lagi ‘angkat senjata’.

Justeru, hari itu saya teringin untuk mendengar kuliah tauhid, khususnya berkaitan akidah Ahlul sunnah wal jamaah. Entah bila kali terakhir aku ikuti kuliah sebegini. Apalagi secara teratur. Lalu aku cuba mencari dalam youtube... melalui  kata kunci ahlul sunnah.
Maka antaranya, saya ketemu kuliah syarah akidah ahlu sunnah wal jamaah oleh ustaz Yazid Bin Abdul Qadir Jawas. Terperanjat saya bila terdengar antara ayat-ayat beliau yang berbunyi...

“bahawa kalau mereka tetap dalam kesyirikan, mengajak orang kepada kesyirikan kemudian mereka menolak sifat-sifat Allah atau mereka mentakwil sifat-sifat Allah, kemudian mereka berbuat bidaah dan mengajak  orang kepada bidaah....  tidak bisa mereka dikatakan ahlul sunnah wal jamaah ... atau mereka mengisbatkan kepada Asya’riah ... Asy’ariah tidak termasuk Ahlul Sunnah wal jamaah.... “

(Harap sesiapa dapat menyemak jika saya tersilap mendengar)

Jika begitulah apa yang saya dengar... walau ayat itu boleh ditafsir dalam keadaan yang boleh diperjelaskan, ia tetap boleh menyebabkan golongan ustaz di satu pihak lain merasa marah tidak berpuashati....   

T 20  versus  T 3?

T20. T3. Sengaja aku ringkaskan perkara di atas buat anda semua tertanya-tanya. Apakah itu? ‘Suspen’ sikit. Sebenarnya aku marah, marah dengan sebahagian ustaz dan ilmuan agama. Perselisihan pendapat pada perkara tauhid dan akidah yang tidak dapat di‘harmoni’, implikasi sangat tidak diingini. Kesan buruk pasti, pasti dialami. Lalu bagaimanakah dikatakan “perbezaan pendapat itu suatu rahmat”? Adakah ia suatu hadith, hadith sahih? Jika ia sebenarnya bukan hadith, salahkah kalau ada yang mengatakan perbezaan sebegini ialah perselisihan yang mencelakakan.

Apabila perselisihan pandangan menjadikan medium seperti media masa, media internet, media cetak, ceramah atau kuliah  sebagai ‘medan perang’, kecederaan pasti berlaku kepada orang awam. [Yang terbaru kisah Dato Mufti yang ‘membelasah’ mantan Dato Mufti.   Aku pun ada menulis tentang perkara ini dalam Blog.]  

Mungkin satu pihak adalah betul, satu pihak pula salah. Tetapi tiada kemungkinankah satu pihak lebih betul dan satu pihak tidak salah. Maka aku berhasrat untuk meneliti hujah.  

Definisi T20 dan T3.

T20 adalah merujuk kepada Tauhid Sifat 20. Manakala T3 ialah merujuk kepada Tauhid 3 Serangkai atau Pembahagian 3. Terdapat ilmuan yang berpegang kepada T20 dan terdapat ilmuan yang berpegang kepada T3.

Dalam pencarian ilmu agama, aku  telah mendengar bagaimana seorang ilmuan agama mengkritik tentang pemahaman tauhid melalui kaedah sifat 20. Ia dikatakan diadaptasi daripada falsafah Greek ‘or something like that’. Mudah faham, ia kaedah pengajaran tauhid yang tidak sesuai dan tidak relevan. Apabila kritikan dianggap keras agak pedas, (sekalipun jika dianggap berasas) pasti sebahagian pihak terasa panas, merasa marah dan bertindakbalas. 

Aku juga marah. “Kurang ajar Ustaz itu”, kata aku, awal dahulu. Aku penghafaz T20 sejak dari kecil.  Keturunan aku dan rakan-rakan aku pun begitu. Gitu aje ustaz ini perlekehkan. Tapi bila aku dengar penjelasan dan alasan, alamak! boleh tahan pulak. Ada hujah yang wajar diberi pertimbangan. Jadi aku ‘reserve’ dulu, tunggu, lihat dan dapatkan lagi maklumat. 

Tapi bagi yang tak puashati, tak dapat berdiam diri.

Akhirnya berlaku kritik berbalas kritik. Semua kritikan dan membalas kritikan ini adalah oleh ilmuan-ilmuan agama, melihat kepada hujah dan dalilnya. Pada suatu tahap, kritikan-kritikan itu boleh sampai kepada sindir-menyindir, kutuk-mengutuk hinggalah sesat-menyesatkan. ...
Aku dulu pernah membaca disebuah akhbar bagaimana sebuah pertubuhan atau yayasan yang ditadbir oleh ilmuan agama berjenama sufi mengkritik T3 ini. Bayangkanlah sampai disiar dalan akhbar arus perdana, terbuka kepada sesiapa untuk membaca. Lalu aku berbisik di dalam hati, “apa kono eh jang... ni macam istyihar perang”.

Kira-kira pada masa itu, aku ni dari kalangan pembaca yang berminat untuk ambil tahu. Bagi kebanyakan orang awam yang tidak mengerti isu ini mungkin tidak ambil peduli. Manakala golongan ilmuan dianggap telah kukuh pada kefahaman dan pegangan.

Jadi, tentu golongan pembaca sepertiku yang menjadi sasaran. 

Entah macammana, pada aku juga ada buku kecil terbitan Sekretariat Penjelasan Hukum Berkenaan Isu-isu Aqidah dan Syariah (Majlis Agama Islam Negeri Johor). Buku bertajuk “Penjelasan Tentang Kebatilan Konsep  Yang Tiga (Uluhiyah, Rububiyah Dan Asma’ Wa Sifaat) oleh Dr Umar Abdullah Kamil – semasa Multaqa 3 Ulama’ Makkah Al Mukarramah.  

Gempak bukan! Baca tajuk sahaja kita dah tahu, apa maksud dan halatuju. ‘KEBATILAN’, maknanya tak betul, tak sah, salah atau mengarut atau apa jua istilah yang boleh difaham secara biasa.

Aku telah baca dan dapati penghujahan di dalamnya tidak meyakinkan ketahap tujuan yang diharapkan atau maksud yang dikehendaki melalui buku tadi iaitu untuk mempercayakan aku bahawa konsep 3T itu batal atau batil. Sorry to say… 

Kenapa?

Batil! Itu hukuman yang besar. ‘Death sentence’. Jadi, alasan hukuman atau penghakiman mestilah kuat dan meyakinkan. ‘beyond reasonable doubt’ , melampaui keraguan munasabah.  Aku hairan, kenapa pembatal atau penghukum ini tidak merujuk hujah dan alasan-alasan ‘power’ mereka yang mempertahankan tauhid 3T, kemudian mengulas dengan mendatangkan hujah mereka pula. Barulah adil. 

Begitulah kebanyakan pandangan ilmuan agama yang aku ketemui. Mereka hanya mengutamakan hujah (dalil dan keterangan) yang menyebelahi mereka tetapi tidak diulas hujah (dalil dan keterangan) pihak yang bertentangan, kalau adapun dipilih bukan dari hujah yang terbaik.  Ini tidak adil untuk kita menilai secara adil.

Soalan hipotesis?
Sekiranya konsep tauhid T3 itu batil, batal atau salah. Bagaimana dengan kedudukan pemegang  dan pengamalnya? 

Kebanyakan umat Islam di Malaysia, kefahaman mereka pada perkara tauhid dan akidah berasaskan pada  lafaz 2 kalimah syahadah dan pada surah Ikhlas (Keesaan Allah).  Mereka kemudian mendalami ilmu ini termasuk melalui penghafazan asmaul husna dan sifat 20.  Sama ada benar-benar memahami dan menghayati maksud setiap apa yang diketahui, adalah satu persoalan yang berbeza yang perlu dikaji.

Dalam kalimah syahadah pertama, ia bermula dengan ikrar penyaksian “Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah”. Bermakna elemen penting bermula dengan penafian segala bentuk ketuhanan dan penyembahan  melainkan hanya kepada  Allah. Bermaksud juga; Menolak semua dan segala bentuk pengabdian dan penyembahan dengan meninggalkan hanya satu penyembahan yang mutlak kepada Allah s.w.t. Tiada sekutu bagi-Nya. Keesaan Allah pula jelas termaktub dalam surah ikhlas.

Bukankah kefahaman ini wujud dalam T3?.

Sama ada T3 atau T20, Bukankah kesemua kita beriman juga dengan ayat al-Quran:- Maksud: “Tiadalah yang menyerupai Allah dengan sesuatu apapun (dari kalangan makhluknya)” (Surah Al-Shura :11)

Kefahaman Tauhid Seorang Pelacur

Entah berapa ramai manusia biasa yang benar-benar memahami pengertian T20 dan T3 secara sewajarnya. Pemahaman mereka mungkin tidak sebaik ilmuan-ilmuan agama pendokong T20 dan T3. 

Aku teringat kisah seorang pelacur yang masuk syurga kerana memberi anjing minum. Kisah itu benar dari hadith sahih dari kitab hadith Sahih Bukhari. Begitulah rahmat Allah tiada siapa berhak mempersoalkannya tetapi ada pengajaran yang boleh ditauladani. Mungkin ada taubat diakhir hidupnya… tapi musabab kemasukkan syurga jelas merujuk kebaikannya memberi minum anjing binatang yang dianggap hina dan jijik.

Pastinya wanita itu Islam dan ada iman dihatinya. Pasti ada pemahaman tauhid yang memadai untuk dirinya diterima di sisi Allah. Cuma aku tertanya sama ada,adakah dia memahami konsep tauhid berdasarkan 3T atau 20T? 

..... namun dia ahli syurga.

Aku juga teringat kisah sahih seorang pembunuh 99 yang ingin bertaubat tetapi membunuh seorang lagi (ahli ibadah) menjadi 100 tetapi masih ingin bertaubat dan atas nasihat seorang ahli ilmu, dia masih mahu bertaubat dan kemudian mula berhijrah ketemapt lebih baik tetapi mati dalam perjalanan.  Taubatnya diterima ... ke syurga akhirnya.

Agaknya jenis tauhid apa yang dipegangnya -T3 atau T20?

Sekiranya kita manusia biasa tidak pernah mengaji tauhid secara mendalam mengikut konsep tauhid 20T atau 3T… dan kita selamat disisi Allah …  buat apa menyusahkan diri berisiko kepada konsep tauhid yang ini dibatilkan oleh yang itu, yang itu pula dibatilkan yang ini.

Keputusan T3 versus T20 = Siapa ‘Power’?

Kalau ditanya mana lebih power, aku tidak tahu lagi, atau aku tidak mahu kata lagi mana lebih power... aku mahu membaca lagi ...mengetahui lagi....
Cuma aku ketemui satu fakta menarik.

Presiden PAS Pilih T20?

Ini kisah benar, pada 30/3/2011, aku diketemukan dengan sebuah buku agama sederhana saiznya. Seperti biasa, apabila ianya buku agama, rasa ingin tahu mendorong aku untuk melihat dan membelek isikandung. Mana tahu, best. Bukunya bertajuk “Muqaddimah Aqidah Muslim oleh Haji Abdul Hadi Awang” (Terbitan Pustaka Aman Press Sdn Bhd, Cetakan Keenam 2006).

“Nipis sahaja. Ringkasan agaknya”, bisik aku, merasa kurang tertarik.  Aku pun membelek isikandung terdapat catatan besar 4 perkara pokok membatalkan iman iaitu (1) mengingkari Sifat-sifat Rububiyyah atau mencelaNya (2) mengingkari atau mencela Asma’ Allah dan Sifat-sifatNya (3) Mengingkari atau mencela Sifat Uluhiyyah (4) mengingkari atau mencela Rasulullah s.a.w. atau kerasulannya.

“Eh! Ini macam konsep Tauhid 3T.”, bisik aku lagi. Lalu aku membaca mukasurat-mukasurat berkaitan (m/s 60-67) dan aku bawakan satu bahagian daripadanya yang tertulis tajuk:

Mengingkari atau mencela sifat uluhiyyah
Iaitu perkataan atau perbuatan atau i’tiqad yang mengingkari bahawa Allah s.w.t. sahaja  yang disembah dengan sebenarnya, yang lain daripadaNya tidak berhak disembah dan di’abdikan diri kepadanya dengan pengertian ibadah.
Maka sesiapa yang berkata atau ber’amal atau beri’tiqad dengan cara yang bercanggah dengan UluhiyyahNya maka kafir dan murtadlah ia. Dan kekafiran inilah yang paling banyak berlaku dikalangan manusia.
Sesungguhnya kebanyakan manusia sejak dahulu hingga sekarang mengakui Tauhid Rububiyyah dengan mempercayai qudrat Allah s.w.t., tadbirNya rezekiNya. Dialah yang menghidupkan dan mematikan, iaitulah apa yang dimaksudkan oleh firman Allah s.w.t. (maksud) “Dan sungguh jika kamu bertanyakan mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab: "Allah", ... (Surah Az-Zukhruf :87).
Tetapi mereka mengingkari di dalam i’tiqad, perkataan dan perbuatan terhadap Uluhiyyah Allah seperti beribadat kepada yang lain daripada Allah s.w.t. mengaku hukum dan undang-undang yang lain daripada syari’at Allah s.w.t. dengan hati atau lidah.
Kesimpulan: Justeru jelas bahawa Presiden kepada sebuah parti Islam yang unggul dan besar dengan  pimpinan dibarisi sekian ramai ilmuan bijak pandai agama dengan keahlian sekian ramai ilmuan agama menerima pakai kaedah atau konsep tauhid T3 ini.

T20 macammana pula?

Aku percaya, T20 tentulah warisan metod ilmu akidah yang telah dihayati majoriti rakyat ini untuk sekian lama.  Jadi apa masalahnya? 

Bersambung.........

Hisham-ahmad.blogspot.com

No comments:

Post a Comment