Social Icons

Pages

Thursday, December 26, 2013

Hadith 3 Sahabat Untuk Panduan Umat



Sunnah itu indah! dah habis buat amal2 yg sahih ke ...?


Hadith di bawah ini pernah saya dengar di Radio IKIM. Ia dibaca dan dihuraikan oleh seorang ilmuan agama. Saya juga pernah mendengar ia dikupas dalam suatu kuliah oleh ilmuan agama yang lain. Hadith ini juga boleh ditemui dalam banyak buku agama oleh penulis luar mahupun tempatan.

Kepentingan:- Saya dapati hadith ini sangat mustahak untuk diketahui dan difahami oleh semua umat Islam kerana ia memberi panduan asas dan petunjuk penting dalam perkara amal ibadah yang boleh dilakukan dan kadar serta had batasan yang perlu dipatuhi.

Dalil dan Authoriti. Berkedudukan hadith berstatus sahih dan direkodkan dalam Sahih Bukhari menjadikan Hadith ini suatu dalil, authoriti dan hujah yang kuat bagi menyelesaikan segala isu dan dakwaan yang berkaitan dengannya.
Hadith itu ialah :-  

جَاءَ ثَلاَثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوتِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُونَ عَنْ عِبَادَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَلَمَّا أُخْبِرُوا كَأَنَّهُمْ تَقَالُّوهَا فَقَالُوا وَأَيْنَ نَحْنُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ؟ قَالَ أَحَدُهُمْ أَمَّا أَنَا فَإِنِّي أُصَلِّي اللَّيْلَ أَبَدًا وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَصُومُ الدَّهْرَ وَلاَ أُفْطِرُ وَقَالَ آخَرُ أَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلاَ أَتَزَوَّجُ أَبَدًا. فَجَاءَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيْهِمْ فَقَالَ:  أَنْتُمْ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا؟ أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ  لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ   فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي.

 Telah datang tiga orang ke rumah-rumah isteri-isteri nabi s.a.w. lalu mereka bertanya tentang ibadat nabi s.a.w. Apabila dimaklumkan (tentang ibadat nabi), mereka merasakan seolah-olah ianya sedikit. Lalu mereka berkata: “di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan kedudukan nabi s.a.w. yang telah diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang?”

Berkata salah seorang daripada mereka: “Adapun aku, maka aku akan bersolat malam selama-lamanya.” Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Berkata yang terakhir: “Aku akan menghindari wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.”

Maka Rasulullah s.a.w. datang kepada mereka dan bersabda: “Kaliankah yang mengatakan begini dan begitu? (Diakui mereka) Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut di antara kalian kepada Allah dan paling bertakwa kepada-Nya di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat (malam) dan tidur, serta aku menikahi wanita. Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia tidak termasuk dari aku.”

(HR Anas bin Malik r.a.) (Sahih Bukhari : Hadith no: 5063 (Rujuk Kitab al-Nikah, Bab anjuran untuk menikah)).(Disebut juga dalam buku Himpunan Hadith=hadith Shahih, Jilid 1, Drs Abdul Ghani Azmi Bin Haji Idris. Cetakan Pertama di Malaysia, 1998)

Isi Penting:-

1.       Sahabat bertanya kepada isteri Rasulullah s.a.w. tentang hal ibadah nabi s.a.w. Ia dalil bahawa lelaki boleh berbicara dengan wanita dalam hal ilmu dan penting.

2.      Tiga lelaki itu beranggapan seorang nabi mungkin perlu beribadah dengan berlebihan dan terlalu lama seperti bersolat, berzikir, membaca al Quran sepanjang malam. 

3.       Setelah mendapat jawapan bahawa ibadah nabi tidaklah seperti yang mereka sangkakan (tidak terlalu banyak pada pemikiran mereka) mereka kemudian membuat andaian dan rumusan sendiri bahawa nabi tidak perlu berlebihan beribadah kerana kedudukan baginda  yang istimewa kerana telah diampunkan oleh Allah dan kerana itu mungkin pada fikiran mereka, tak mengapalah atau tak perlulah nabi beribadah terlalu banyak.

4.      Sedangkan (pada pemikiran mereka), sebagai manusia biasa yang belum tahu untung nasib di alam akhirat sama ada diampunkan Allah s.w.t atau pun tidak, maka perlulah mereka beribadah dengan banyak sebagaimana yang mereka bercadang untuk melakukan.

5.       Amal ibadah yang menjadi perbincangan dalam kes ini adalah dari amal ibadah yang baik, lazim dan sunnah iaitu bersolat, berpuasa. Satu lagi ibadah ialah untuk mengekang diri dari memenuhi syahwat (nafsu seks). Isunya ialah mereka ingin melakukan amal-amal itu secara melebihi daripada yang nabi tunjukkan/contohkan.

6.      Mereka ingin melebihkan kadar amalan itu lebih daripada sukatan yang sunnah tetapkan. Pada anggapan logik dan munasabah, ia tidak salah. Apalah salahnya mereka nak buat banyak-banyak amalan baik, bukan amalan jahat.

7.       Namun nabi s.a.w. tidak benarkan. Nabi menegah, melarang dan memberi amaran dengan ancaman yang serius.  “Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia tidak termasuk dari golongan aku.”

Pengajaran:-

Hadith ini menjadi panduan penting bagi kita dalam mempertimbangkan kedudukan pelbagai amalan-amalan ibadah kita pada masa kini. Tidak boleh kita melakukan melebihi dan berlainan dengan apa yang telah nabi tunjukkan dan tetapkan walaupun dengan niat baik dan dengan rasa rendah diri beralasankan bahawa “kita sesiapa, nabi siapa”, “siapa kita nak dibanding dengan nabi”, “kita dosa melangit..” Semua kenyataan ini betul (untuk kita) tapi diletakkan pada tempat yang salah… or something like that.  

Sesungguhnya membuat amal ibadah memadai sekadar yang nabi tunjukkan dan tetapkan, sudah cukup hebat bagi kita orang biasa. Itupun kebanyakan kita tak terdaya melakukannya kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia. Buat apa kita buat sesuatu yang lain atau kita buat pindaan, tambahan atau ubahsuai demi kononnya untuk buat lebih baik atau atas apa jua alasan.

Ikut apa orang lain buat, mungkin betul.. mungkin silap. Namun kalau ikut nabi, pasti betul dan pasti selamat. Nabi sendiri mengesahkan dan mengiktiraf kedudukan dirinya (keistimewaan nabi, jangan kita perasan nak buat macam ni) dengan sabda baginda, usah dilupa:-

“Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut di antara kalian kepada Allah dan paling bertakwa kepada-Nya di antara kalian.”

No comments:

Post a Comment